Beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan dan M. Thinaah terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara Taipei Open 2026.
Pearly-Thinaah yang juga pilihan utama kejohanan memberi tentangan sengit sebelum terpaksa akur kepada beregu bukan pilihan dari Jepun, Sumire Nakade dan Miyu Takahashi.
Selepas menewaskan wakil Amerika Syarikat (AS), Francesca Corbett-Jennie Gai di peringkat separuh akhir, beregu kelima dunia itu berharap dapat menambah satu lagi gelaran juara Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Sedunia (BWF).
Pengalaman dan status sebagai beregu pilihan utama dilihat memberi kelebihan kepada Pearly-Thinaah untuk menghadapi cabaran Nakade-Takahashi.
Set pertama menyaksikan kedua-dua beregu saling mengejar mata. Meskipun begitu, Nakade-Takahashi mengungguli set pertama dengan keputusan 21-16.
Pearly-Thinaah cuba bangkit pada set kedua dan pada satu ketika, mendahului pada kedudukan 18-16. Beregu Jepun itu berjaya mengejar sebelum mengungguli set kedua dengan keputusan 21-18.
Menariknya, ini gelaran juara keempat yang diraih Nakade-Takahashi untuk tahun 2026 dan gelaran juara ketiga untuk saingan BWF Super 300.
Beregu Jepun itu membawa pulang hadiah kemenangan bernilai AS$18,960 (RM77,470). Pearly-Thinaah pula terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara dan hadiah bernilai AS$9,120 (RM37,264).
Perjuangan Malaysia untuk meraih gelaran juara di pentas Taipei Open masih belum berakhir. Ini kerana Aaron Chia dan Aaron Tai akan bersaing di peringkat akhir untuk acara beregu lelaki.