Malaysia Antara 4 Negara Ke Separuh Akhir Kejuaraan B-17 ASEAN
MakanBola
FA Malaysia

Malaysia mengesahkan tempat ke separuh akhir Kejuaraan B-17 ASEAN bersama 3 lagi pasukan terbaik di rantau Asia Tenggara.

Saingan peringkat kumpulan Kejuaraan B-17 ASEAN baru sahaja menamatkan aksi dengan 12 buah pasukan tampil memberikan persembahan terbaik demi memburu slot ke separuh akhir.

Salah sebuah negara yang berjaya ke separuh akhir adalah Malaysia selepas pasukan bimbingan Shukor Adan berjaya menutup kempen peringkat kumpulan A sebagai naib juara.

Walaupun tewas dalam aksi pertama kepada Vietnam, skuad muda negara segera bangkit mencatatkan dua kemenangan ke atas Indonesia dan Timor Leste untuk mengumpul 6 mata keseluruhan.

Malaysia bakal mengiringi Vietnam yang layak sebagai juara kumpulan A setelah merekodkan dua kemenangan dan satu keputusan seri untuk mara berbekalkan kelebihan satu mata di atas pasukan negara.

Kejutan besar terjadi di kumpulan B apabila Laos melangkah ke peringkat separuh akhir selepas mengatasi negara pilihan, Thailand untuk muncul juara kumpulan hasil kutipan 7 mata

Di kumpulan C, Australia menepati ramalan apabila mencatat kemenangan bersih dalam kesemua 3 aksi, untuk ke separuh akhir sebagai satu-satunya negara dengan rekod sempurna.

Pusingan separuh akhir bakal menyaksikan Malaysia bertemu Laos selaku juara kumpulan B pada Rabu, 22 April sementara Vietnam dan Australia akan berentap bagi merebut tiket final pada sebelah malam.