Malaysia B-15 Sertai Dua Kejohanan Jemputan Di Australia
MakanBola
FA Malaysia

Skuad Malaysia B-15 telah terpilih menyertai dua kejohanan penting di Australia pada Julai ini.

Perkara ini diumumkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi sebuah kenyataan pada Jumaat sekaligus menerima pelawaan daripada penganjur, Football Australia.

Football Australia dengan sukacitanya mengumumkan bahawa FAM akan sertai kedua-dua Kejohanan Emerging Matildas 2025 dan Kejohanan Emerging Socceroos 2025,” ujar badan induk bola sepak negara dalam satu kenyataan.

Oleh itu, Skuad Bawah-15 Tahun Malaysia kendalian Javier Jordan Ribera akan turun menentang pemain muda terbaik Australia di Valentine Sports Park, Sydney dan Home of the Matildas di Universiti La Trobe, Melbourne pada Julai 2025 ini.

Penyertaan Malaysia buat julung kalinya ini mencerminkan salah satu inovasi utama dalam transformasi kejohanan ini, bagi meningkatkan tahap persaingan, meluaskan peluang pembangunan pemain, serta menyediakan penanda aras antarabangsa yang amat bernilai bagi pemain, jurulatih, dan pegawai.

“Kami berasa amat berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada inisiatif penting ini bersama Football Australia,” ujar Presiden FAM, Datuk Seri Joehari Ayub dalam kenyataan sama.

“Peluang untuk bertanding dalam Kejohanan Emerging Matildas dan Emerging Socceroos mencerminkan komitmen bersama kita terhadap pembangunan akar umbi dan juga kerjasama serantau.”

Kejohanan Emerging Matildas bakal berlangsung bermula 6 hingga 11 Julai hadapan di Home of the Matildas, Bundoora, Melbourne, Victoria.

Manakala kejohanan Emerging Socceroos 2025 pula akan membuka saingan pada 15 sehingga 20 Julai di Valentine Sports Park, Glenwood, Sydney, New South Wales.