Keyakinan skuad kebangsaan Malaysia berada pada tahap tinggi selepas berjaya membenam Hong Kong dan Turkmenistan. Dan sebagai aturan untuk dua perlawanan antarabangsa seterusnya pada Jun ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memilih Yaman dan Kepulauan Solomon sebagai lawan terbaru anak-anak buah Kim Pan-gon.
Hal ini didedahkan sendiri oleh Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman. Selain sebagai peluang memperbaiki kedudukan ranking FIFA, ia juga merupakan persiapan terbaik untuk saingan Piala Asia 2023 pada Januari tahun hadapan.
Mengikut kedudukan ranking FIFA ketika ini, Kepulauan Solomon menduduki kedudukan ke-136. Sementara Yaman pula menduduki ranking ke-154 dunia.
“Kita akan bersiap sedia untuk ‘second’ Tier 1 pada Jun. Kita akan bertemu dengan Solomon Islands dan juga dengan Yemen, dua pasukan ini.
“Tempat kita belum putuskan lagi sama ada kita buat di Johor, Terengganu atau Pulau Pinang. Kita akan putuskan kemudian dan juga persiapan untuk Pestabola Merdeka pada Oktober akan datang,” katanya dalam temubual bersama Zulhelmi Zainal Azam untuk Astro Arena.
Tambah Noor Azman lagi, FAM juga turut menzahirkan junjungan kasih kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), DYAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana sudi membenarkan Harimau Malaya menggunakan kemudahan yang dimiliki JDT yang dianggap bertaraf antarabangsa.
Disebabkan aturan ini, ini membantu skuad senior melakar kemenangan ke atas Turkmenistan dan Hong Kong. Lebih manis, pemain sayap JDT, Akhyar Rashid turut menyumbang dua gol dalam kedua-dua perlawanan tersebut.
“Seluruh FAM sentiasa berterima kasih dan bersyukur di atas kerelaan Tunku Ismail mengambil berat tentang pasukan kebangsaan. Tidak dapat dinafikan, stadium dan kemudahan bertaraf dunia seperti yang ada di Stadium Sultan Ibrahim adalah salah satu faktor-faktor yang menyumbang kepada kejayaan pasukan kebangsaan.
“Tetapi pada masa sama, tidak dilupakan barisan kejurulatihan (termasuk) ketua jurulatih Kim Pan-gon, Pau Marti, pemain-pemain Harimau Malaya yang berhempas-pulas mencatatkan kemenangan,” tambahnya.