Advertisements
Malaysia Berpeluang Anjurkan Sukan Komanwel 2026, Suntikan Pelaburan Cecah RM600 Juta
UltraSukan
UltraSukan
Inside The Game

Malaysia berpeluang menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 menggantikan negeri Victoria, Australia.

Ini selepas wakil Astro Arena, Bazly Azmi memuatnaik gambar surat yang dihantar Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Selain menawarkan peluang sebagai tuan rumah temasya 2026, CGF juga turut menawarkan suntikan pelaburan berjumlah £100 juta (RM602 juta) dalam bentuk perlaksanaan di peringkat tempatan dan perancangan legasi temasya berkenaan.

Susulan itu, MOM telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi mempertimbang tawaran yang dinyatakan.

Pendedahan ini muncul tidak lama selepas Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan isu penganjuran Sukan Komanwel 2026 bakal diputuskan oleh Kabinet tidak lama lagi.

KBS turut diminta menyediakan satu kertas kajian bagi membincangkan semua aspek penganjuran temasya berkenaan.

Nasib Sukan Komanwel 2026 menjadi tanda tanya selepas Victoria, Australia, menarik diri sebagai tuan rumah pada Julai tahun lepas.

Keputusan tersebut dibuat selepas mereka tidak mampu menanggung peningkatan kos penganjuran daripada jangkaan awal A$2.6 bilion (RM8.09 bilion) kepada A$7 bilion (RM21.78 bilion).