Skuad Harimau Malaya di bawah kendalian Kim Pan-gon akan memulakan kem latihan pusat pada 18 Mac kelak. Hari ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengumumkan senarai 27 pemain yang terpilih menyertai kem kebangsaan.
Skuad kali ini mempunyai masa kira-kira seminggu sebagai persediaan bagi membentuk keserasian pasukan sebelum berdepan dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1.
Aksi persahabatan pertama Malaysia ialah berdepan cabaran Turkmenistan pada 23 Mac dan diikuti perlawanan menentang pasukan Hong Kong pada 28 Mac. Kedua-dua aksi persahabatan ini bakal diadakan di Stadium Sultan Ibrahim.
Tak terhenti setakat itu, kem kebangsaan juga bakal melayan kunjungan dua pasukan dari Timur Tengah iaitu Yemen dan Syria atau Oman pada bulan Jun sebelum memulakan kempen kejohanan Pesta Bola Merdeka pada Oktober.
Perlawanan-perlawnan persahabatan yang dilangsungkan dalam kalender FIFA ini sekaligus menjadikan Malaysia berpeluang meraih lebih banyak peningkatan ranking FIFA dalam tahun ini.
Untuk dua aksi persahabatan awal, tambahan sebanyak +5.27 mata mampu diraih Harimau Malaya jika menang menentang Turkmenistan dan tambahan +4.9 mata jika Malaysia berjaya menewaskan Hong Kong.
Jika dilihat berdasarkan perkiraan mata sebelum-sebelum ini, Malaysia dianggarkan memperoleh tambahan 7 mata jika menang ketika berdepan Lubnan, Palestin dan India di kejohanan Pesta Bola Merdeka.
Secara keseluruhannya, sebanyak 30 mata mampu dipungut skuad Harimau Malaya jika kemenangan berjaya dicatat dalam aksi-aksi persahabatan ini.
Ini bermakna, Malaysia mampu untuk melonjak naik ke kedudukan 136 dunia, melonjak naik 9 anak tangga dari kedudukan terkini (145). Skuad kendalian Kim Pan-gon juga berpeluang untuk menyamai kedudukan negara Solomon Island, Lithuania dan menghampiri ranking Filipina.
Perangkaan bijak dan bernas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) wajar diberikan pujian. Percaturan ini bakal memberi banyak kebaikan buat skuad Harimau Malaya bukan setakat pada peningkatan ranking semata-mata namun sebagai persediaan terbaik pasukan menjelang kejohanan Piala Asia yang dijadualkan pada Januari 2024.