Kehilangan Kim Pan-gon sebagai jurulatih skuad Harimau Malaya mungkin akan memberikan aura yang sedikit berbeza berbanding perlawanan skuad kebangsaan sebelum ini.
Namun bagi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), ianya tidak akan merubah apa-apa selepas barisan kejurulatihan yang ada kini masih sama seperti ketika Kim Pan-gon menjadi ketua jurulatih.
Perkara itu dijawab oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman ketika ditanya wartawan selepas menghadiri Majlis Undian Pestabola Merdeka 2024 di Wisma FAM pada Selasa.
“Pandangan kami (berkenaan hilang aura Kim Pan-gon) nampak okay sebab pembantu dia iaitu Pau Marti (kini) sebagai ketua jurulatih dan barisan kejurulatihannya masih ada lagi.
“Jurulatih kecergasan, jurulatih semua, jurulatih penjaga gol semua ada lagi. Cuma head coach Kim Pan-gon saja yang tiada. Jadi tiada masalah,” jelas Noor Azman ketika ditemubual MakanBola di Wisma FAM.
FAM juga meyakini kredibiliti yang dimiliki oleh Pau Marti bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Pan-gon memandangkan Pau Marti sudah lebih dua tahun bersama skuad kebangsaan.
“Memang kita yakin (kredibiliti Pau Marti). Sebab dia dah sama-sama dengan kita hampir dua tahun setengah. Maknanya kita yakin dia mampu untuk nak bawa pasukan ini,” tegasnya lagi.
Bagi kejohanan Pestabola Merdeka 2024, Malaysia diundi untuk bertemu Filipina dan perlawanan tersebut bakal diadakan pada 4 September depan. Satu lagi aksi bakal menemukan juara bertahan, Tajikistan yang akan menentang Lubnan juga pada tarikh yang sama.
Pasukan yang memenangi perlawanan akan mara ke perlawanan akhir yang dijadualkan pada 8 September manakala pasukan yang kalah akan berentap bagi perlawanan memburu kedudukan ketiga kejohanan yang turut diadakan pada tarikh yang sama.