Kontinjen Malaysia yang bertanding dalam ASEAN Para Games 2023 semalam ceria apabila pasukan bola sepak cerebral palsy negara meraih pingat emas. Mereka menewaskan Indonesia 3-1 menerusi penentuan sepakan penalti final acara bola cerebral palsy.
Babak pertama menyaksikan Timnas Indonesia mengasak kubu pertahanan Harimau Malaya. Tetapi anak-anak buah jurulatih Surasak Tungsurat mempamerkan disiplin yang tinggi dari segi pertahanan dan memastikan keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.
Separuh masa kedua turut menyaksikan ulangan sama. Malaysia yang mencipta kejutan menyingkirkan Thailand di peringkat separuh akhir berjaya mengekang asakan Timnas Indonesia bagi mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Tempoh inilah yang menyaksikan Mohamad Sobri menjaringkan gol untuk skuad negara menerusi satu serangan balas. Bagaimanapun, keceriaan kem negara tidak bertahan lama apabila Diky Hendrawan menjaringkan gol lewat untuk mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti.
Malang buat Indonesia apabila dua daripada sepakan penalti mereka tidak mengenai sasaran. Sementara tiga penalti pasukan negara mudah disempurnakan sekaligus menjamin pingat emas ke-47 buat kontinjen negara dalam temasya ASEAN Para Games 2023.