Malaysia Mampu Menandingi Bahrain & Jordan

FA Malaysia
Azim Noor
@mohdazim45
4:50pm 12/05/2023

Semalam, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan E Piala Asia 2023 bersama Korea Selatan, Bahrain dan Jordan. Bagi bekas penyerang kebangsaan, Nizaruddin Yusof, beliau melihat kumpulan tersebut seimbang kerana percaya dengan kemampuan Harimau Malaya mengatasi dua pasukan Timur Tengah itu.

Di atas kertas, ketiga-tiga pasukan memiliki kedudukan ranking FIFA dan Asia yang lebih baik berbanding pasukan kebangsaan. Tetapi dengan mengetepikan Korea Selatan yang sedia diketahui sebagai pasukan bertaraf dunia, tiada beza sebenarnya bila membabitkan pasukan yang menduduki kedudukan lapan terbawah Asia.

Atas sebab itu, bekas penyerang Selangor itu berpandangan anak-anak buah Kim Pan-gon mempunyai peluang seimbang bila turun menentang Bahrain dan Jordan dalam saingan kumpulan nanti.

“Saya rasa untuk Piala Asia, ranking tak mainkan peranan sangat pun untuk ranking lapan yang ke bawah. Yang lapan ke atas itu, kita tahulah ramai pemainnya bermain di liga-liga utama dunia terutama di Eropah.

“Ya, saya nampak pasukan Jordan dan Bahrain ini. Ya, saya pernah bermain dengan pasukan (menentang dua pasukan berkenaan). (Pasukan) Arab tidak selicik pasukan-pasukan dari Jepun, Korea Selatan dan Iran pun.

“Kita boleh bersaing cuma macam saya kata tadi, saya berharap (Harimau Malaya memanggil) pemain-pemain yang terbaik,” katanya kepada Akbar Sahari dan Suzana Basri dalam siaran khas Nadi Arena bersempena Undian Piala Asia 2023 semalam.

Mengikut jadual perlawanan yang dikeluarkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Malaysia bakal menentang Jordan dalam perlawanan pertama Kumpulan E pada 15 Januari 2024. Ini disusuli perlawanan menentang Bahrain (20 Januari) dan Korea Selatan (25 Januari).