Persembahan cemerlang Lee Zii Jia berhasil membawanya ke saingan separuh akhir Malaysia Masters 2024 setelah mengecewakan Anders Antonsen dalam aksi tiga set pada Jumaat.
Selepas berjaya mengatasi dua cabaran awal dari pemain China dan India di pusingan awal, Lee Zii Jia turun sebagai pemain pilihan kelima bakal berdepan rakan baiknya, Anders Antonsen dari Denmark.
Berdasarkan rekod pertemuan, Antonsen miliki kelebihan dengan memenangi lima daripada tujuh aksi menentang Zii Jia dengan pertemuan terakhir berlaku di Japan Masters 2023 yang menyaksikan kemenangan berpihak kepada pemain Denmark itu.
Set pertama bermula sengit dengan beberapa serangan dari Zii Jia berjaya mengelirukan Antonsen untuk wakil negara itu mendahului 11-6 ketika interval.
Antonsen cuba bangkit mengejar kedudukan Zii Jia namun pemain kelahiran Kedah itu kekal mengawal pergerakan dalam gelanggang untuk menutup cerita di set pertama dengan kemenangan 21-15.
Bersambung set kedua, Antonsen mula meningkatkan tempo permainan bagi memerangkap pergerakan Zii Jia di awal set sehingga kedudukan terikat 9-9 sebelum rehat interval.
Penonton di Axiata Arena terus disajikan dengan aksi berbalas serangan dan pukulan menakjubkan sebelum Zii Jia terpaksa akur tewas tipis dalam set kedua 19-21 untuk permainan dilanjutkan ke set penentuan.
Di set penentuan, kebangkitan Zii Jia mula terserlah tatkala ketinggalan 0-2 di awal perlawanan sebelum enam mata secara berturut-turut berjaya diraih untuk pemain negara memimpin ketika interval.
Antonsen mula kehilangan rentak dan peluang untuk digunakan sebaiknya oleh Zii Jia untuk mengutip mata demi mata sebelum aksi di set kedua berakhir dengan kemenangan bergaya buat pemain negara itu.
Aksi di gelanggang satu berakhir dengan kemenangan berpihak kepada Lee Zii Jia dengan keputusan 21-15, 19-21, 21-11 untuk menempah tiket ke separuh akhir.
Pada peringkat separuh akhir pada Sabtu, Lee Zii Jia bakal berhadapan jaguh Hong Kong, Angus Ng Ka Long yang ditewaskannya pada aksi final Thailand Open minggu lalu.