Malaysia Mudah Atasi Maldives
Dunia
FA Malaysia
Advertisements

Malaysia bekerja keras sebelum menundukkan Maldives 3-0 dalam perlawanan persahabatan kedua di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras hari ini.

Sebaik sepak mula, Harimau Malaya yang dibimbing Kim Pan-gon berusaha mendominasi perlawanan. Tetapi The Red Snappers memanfaatkan kelebihan fizikal mereka dengan harapan menggugat corak permainan pantas Malaysia dan mencipta serangan balas ke arah gawang yang dikawal Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Malaysia hampir membuka jaringan menerusi satu gerakan cantik yang direncana Brendan Gan dari sebelah kanan sebelum dilorongkan kepada Darren Lok pada minit ke-11. Bagaimanapun, cubaan penyerang baru Sabah itu berjaya dinafikan penjaga gol The Red Snappers, Hussein Shareef. Tiga minit selepas itu, satu hantaran jauh ke dalam kotak penalti gagal ditanduk Sharul Nazeem.

Advertisements

Tetapi gawang Maldives bolos juga pada minit ke-24 menerusi tolakan mudah. Satu hantaran bola yang dibuat Safawi mencetuskan kekeliruan dalam kalangan pertahanan The Red Snappers sekaligus memudahkan bekas penyerang PJ City itu merebut dan menolak bola ke gawang Maldives yang terbuka.

Gol tersebut memberi keyakinan kepada barisan serangan Harimau Malaya yang diterajui Darren, Safawi dan Faisal Halim. Harimau Malaya terus menggandakan serangan bagi mencari gol kedua. Dan mereka hampir menambah jaringan menerusi sepakan percuma Safawi pada minit ke-38 tetapi sepakannya tidak mengenai gawang yang dikawal Shareef. Keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.

Selepas rehat, Harimau Malaya hampir menambah gol kedua menerusi Darren pada minit ke-45 selepas menerima hantaran Faisal. Tetapi malangnya, sentuhan pertamanya mengecewakan dengan bola yang disepak terkeluar dari permainan. Seminit selepas itu, cubaan sepakan akrobatik Brendan pula berjaya disekat pertahanan Maldives.

Advertisements

Penantian gol kedua Malaysia akhirnya berakhir pada minit ke-64 menerusi Faisal. Usaha gigih Darren menekan pertahanan The Red Snappers membolehkan satu umpanan bola ditolak kepada bekas pemain sayap Terengganu itu. Faisal mudah menolak bola melepasi Shareef ke dalam gawang Maldives.

Empat minit selepas itu, tandukannya selepas menerima hantaran Brendan hampir mengejutkan Shareef tetapi bola melepasi palang. Penjaga gol Maziya itu terus bekerja keras menafikan sepakan lencong Faisal pada minit ke-72 daripada melepasi gawang Maldives.

Dengan perlawanan memasuki minit-minit terakhir, pertahanan Maldives terus dihujani serangan bertubi-tubi Harimau Malaya. Alif Haiqal hampir menambah gol ketiga menerusi sepakan dari luar kotak penalti pada minit ke-80 tetapi hanya terbang melepasi palang. Manakala tandukan Lee Tuck pula pada minit ke-83 terkena tiang selepas menerima hantaran cantik Azam Azmi.

Advertisements

Tetapi kehampaan penyerang Sri Pahang itu tidak bertahan lama apabila dia menyumbat gol ketiga pada minit ke-88. Ia terhasil menerusi gerakan satu dua membabitkan pemain gantian Sergio Aguero dan Faisal sebelum bekas pemain sayap Terengganu itu melorongkan bola kepada Aguero. Bekas pemain Melaka United itu bijak mencipta hantaran yang disudahkan Tuck menewaskan Shareef.

Malaysia terus memburu gol keempat, kali ini menerusi Aguero pada minit ke-91. Bagaimanapun, percubaannya itu berjaya ditangkap kemas Shareef. Keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Dengan dua kemenangan daripada dua perlawanan persahabatan membabitkan Kemboja dan Maldives, anak-anak buah Pan-gon dilihat bersedia menggalas cabaran negara dalam Piala AFF 2022. Malaysia bakal memulakan cabaran Piala AFF 2022 menerusi perlawanan pertama Kumpulan B menentang Myanmar pada 21 Disember.

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram