Malaysia Mudah Belasah Kemboja
Dunia
FA Malaysia
Advertisements

Malaysia memulakan persiapan menghadapi Piala AFF 2022 dengan langkah kanan selepas membelasah pasukan serantau, Kemboja di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.

Babak pertama menyaksikan permulaan seimbang kedua-dua pasukan. Tetapi Harimau Malaya yang dibimbing Kim Pan-gon lebih banyak mengasak dan hampir mendahului menerusi hantaran Lee Tuck seawal minit keempat. Bagaimanapun, hantarannya sempat ditepis penjaga gol Kemboja Hul Kimhuy sebelum sempat disambar David Rowley.

Kemboja cuba melancarkan serangan balas menerusi Lim Pisoth pada minit ketujuh tetapi cubaannya berjaya dipintas Sharul Nazeem dan dikeluarkan daripada permainan. Sepakan sudut yang diambil selepas itu berjaya dikeluarkan pertahanan Harimau Malaya.

Advertisements

Tuan rumah akhirnya mendahului menerusi kapten pasukan Mohamad Faisal Halim pada minit ke-11. Faisal melarikan bola ke kotak penalti Pahlawan Angkor sebelum menghantar bola kepada Tuck tetapi gagal mengatasi kepungan pemain pertahanan lawan. Tetapi bola yang terlepas sempat dikuis Darren Lok sebelum Faisal meledakkan rembatan lambung tepat menuju ke penjuru atas gawang Kimhuy.

Kemboja cuba bangkit tetapi Harimau Malaya terus memburu gol kedua. Satu hantaran jauh ke kotak penalti pada minit ke-16 cuba ditanduk Lok tetapi tandukannya langsung tidak mencemaskan penjaga gol kelab Boeung Ket itu. Faisal hampir menambah jaringan pada minit ke-26 menerusi sepakan lambung selepas mendapati Kimhuy berada di luar garisan gol tetapi sepakannya terlalu tinggi.

Pertahanan Pahlawan Angkor terus cemas apabila sepakan percuma pada minit ke-32 mencetuskan kelam-kabut dalam kotak penalti mereka. Di sebalik tekanan daripada barisan serangan Harimau Malaya, Kimhuy berjaya mendapat bola. Beberapa minit selepas itu, rembatan bek kanan Terengganu Azam Azmi Murad selepas menerima hantaran Tuck pula tidak menemui sasaran.

Advertisements

Bagaimanapun, Tuck yang membuat penampilan pertama bersama pasukan kebangsaan menyumbat gol kedua tuan rumah pada minit ke-37. Sekali lagi, kombinasi Faisal dan penyerang Sri Pahang itu mencetuskan huru-hara dalam kalangan pertahanan Pahlawan Angkor sebelum Tuck mudah menewaskan Kimhuy untuk gol pertama bersama Harimau Malaya.

Sebelum babak pertama berakhir, Kimhuy melakukan kesilapan apabila hantaran pendeknya berjaya dipintas Faisal. Malangnya, hantarannya kepada Lok pula gagal dicapai sekaligus membenarkan pertahanan Kemboja mengeluarkan bola. Tetapi ia berjaya ditebus pemain sayap Penyu itu menerusi gol ketiga pada minit ke-46 selepas menerima hantaran bekas pemain sayap PJ City, V. Ruventhiran. Keputusan 3-0 kekal sehingga rehat.

Selepas rehat, kedua-dua pasukan membuat beberapa pertukaran dengan Pan-gon memasukkan Quentin Cheng, Hakim Hassan dan Sergio Aguero. Dan Harimau Malaya terus menguji kecekapan Kimhuy menerusi percubaan pemain Sabah, Stuart Wilkin pada minit ke-48 selepas menerima hantaran Tuck tetapi berjaya ditangkap penjaga gol Kemboja itu.

Advertisements

Kemboja cuba merapatkan jurang menerusi gerakan solo Sieng Chantea pada minit ke-51. Bagaimanapun, rembatan kaki kirinya yang lemah mudah diselamatkan penjaga gol negara, Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi. Cubaan susulan Pahlawan Angkor menerusi Mat Noron seminit selepas itu terbang tinggi dan tersasar.

Pada minit ke-64, pemain gantian Safawi Rasid hampir menambah gol keempat Harimau Malaya selepas menerima hantaran lintang Tuck. Bagaimanapun, usahanya tidak mengenai sasaran. Tiga minit selepas itu, penyerang JDT itu sekali lagi mencuba dari luar kotak penalti selepas menerima hantaran Aguero tetapi percubaannya tersasar.

Pahlawan Angkor hampir merapatkan jurang menerusi penyerang Visakha, Keo Sokpheng pada minit ke-69. Sokpheng berjaya menggelecek seorang pemain pertahanan sebelum melepaskan rembatan ke arah gol negara. Bagaimanapun, percubaannya itu tersasar ke sebelah tepi gol.

Advertisements

Safawi sekali lagi menguji Kimhuy menerusi sepakan percuma jarak jauh pada minit ke-81 tetapi sepakannya gagal menemui sasaran. Seminit selepas itu, giliran Rowley pula mencuba tetapi berjaya ditepis penjaga gol Boeung Ket.

Tetapi gawangnya dibolosi lagi buat kali keempat pada minit ke-86 menerusi tampanan mudah Wilkin selepas Kimhuy gagal menangkap kemas sepakan Safawi. Seperti Tuck, bekas pemain JDT itu juga turut membuat penampilan pertama dan menyumbat gol pertama bersama Harimau Malaya.

Dengan kemenangan ini, barisan pemain baru negara membuktikan mereka boleh merealisasikan gaya permainan yang dimahukan Pan-gon. Skuad negara bakal berdepan Maldives dalam satu lagi aksi persahabatan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 14 Disember.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram