Malaysia bakal menyertai Festival Piala Dunia Bawah 15 Tahun (B-15) di Azerbaijan yang akan berlangsung dari 22 hingga 31 Oktober ini.
Pengumuman ini berdasarkan gambar surat rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung kejohanan itu yang dikongsikan akaun HarimauMYstats.
Sehubungan dengan itu, FAM bakal mengadakan sesi latihan dan pemilihan untuk pasukan B-15 dari 14 hingga 20 September ini.
Kem tersebut akan diadakan di Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Gambang, Pahang.
Usaha ini dilihat sebahagian daripada usaha FAM untuk membentuk pasukan yang mantap sebagai teras skuad B-16 terutama untuk kempen kejohanan B-17 termasuk kempen kelayakan Piala Asia B-17.
Sehingga artikel ini ditulis, belum ada sebarang pengumuman tentang siapa jurulatih baharu pasukan itu.
Satu nama yang berpotensi membimbing skuad Malaysia B-15 ialah Shukor Adan. Bekas kapten Harimau Malaya itu menjadi pilihan kerana beliau kini membimbing skuad Malaysia B-16.
Pada masa sama, tidak mustahil peranan itu akan dipikul oleh individu berbeza dan bukan Shukor. Potensi hal itu timbul kerana bekas pemain pertahanan Selangor itu sudah membawa dua pasukan mengharungi dua kejohanan.
Shukor bukan saja membawa skuad Malaysia B-16 muncul naib juara Kejuaraan B-17 ASEAN 2026. Malah, beliau turut membantu Malaysia B-19 layak ke Piala Asia B-20.