Arena bola sepak Malaysia dilihat tidak pernah ketandusan dalam melahirkan penjaga gol berbakat dari dahulu sehingga kini.
Perkara tersebut diakui sendiri oleh jurulatih penjaga gol Kelana United, Norazlan Razali. Bekas penjaga gol kebangsaan ini juga berpendapat semua pasukan di Liga Super kini mempunyai penjaga gol yang berkualiti.
“Bakat penjaga gol (di Malaysia) tak pernah lupus. Terima kasih juga kepada jurulatih-jurulatih yang membina, yang menaikkan mereka dari satu tahap kepada satu tahap sehinggalah sekarang.
“Saya rasa majoriti pasukan di Liga Super mempunyai kualiti penjaga gol yang baik,” jelas Norazlan dalam satu temu ramah bersama Makanbola.
Ketika ditanyakan mengenai kemampuan skuad kebangsaan menjelang Piala Asia 2023 di Qatar bulan depan, Norazlan optimis pasukan itu mampu pergi lebih jauh.
“InsyaAllah, dengan berbekalkan jurulatih berpengalaman dari Korea (Selatan), saya rasa insyaAllah pasukan ini akan pergi jauh dan lebih baik daripada tahun-tahun sebelum ini,”ulasnya lagi.
Norazlan ditemui Makanbola pada kejohanan Liga Puteri B-15 tahun anjuran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang berlangsung di Pusat Latihan Sime Darby, Bukit Jelutong bermula Jumaat.
Bekas penjaga gol Kuching City berusia 37 tahun itu mempunyai satu penampilan antarabangsa bersama Malaysia dan pernah menyarung jersi kelab-kelab besar di Malaysia seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC dan Melaka United.