Selepas Dan Ashworth akhirnya sah menyertai Man United sebagai pengarah sukan, kelab itu mula sibuk memburu sasaran dalam tetingkap perpindahan musim panas 2024.
Satu nama yang dalam radar The Red Devils ialah bintang muda Benfica dan Portugal, Joao Neves. Neves menjadi tonggak utama pasukan itu di bahagian tengah dengan merekodkan 75 penampilan, tiga gol dan dua bantuan gol mengikut data terbaru Transfermarkt.
Pemain tengah berusia 19 tahun itu turut menjadi sebahagian daripada pasukan Portugal yang bersaing dalam kempen EURO 2024. Disebabkan potensi yang dimilikinya, TeamTalk melaporkan United, Liverpool dan Paris Saint-Germain berminat mendapatkan Neves.
Walau bagaimanapun, tiga kelab ini perlu bersedia berbelanja besar untuk mendapatkan Neves. Ini kerana The Eagles menetapkan €120 juta (RM611 juta) sebagai harga yang perlu dipenuhi mana-mana kelab yang berminat.
United sebelum ini telah membuat bidaan sebanyak €60 juta (RM305 juta) tetapi ditolak oleh Benfica. Usaha PSG menerusi bidaan sebanyak €75 juta (RM382 juta) turut ditolak oleh kelab gergasi Portugal itu.
Meskipun The Eagles dilaporkan telah mengurangkan tuntutan yuran perpindahan dari €120 juta (RM611 juta) kepada €100 juta (RM509 juta), nilai tersebut dilihat terlalu mahal bagi ketiga-tiga pasukan itu.
Satu-satunya harapan United untuk membiayai pembelian Neves ialah penjualan pemain. Ketika ini, The Red Devils sedang mengusahakan penjualan Mason Greenwood.
Penyerang berusia 22 tahun itu dilaporkan bakal melengkapkan perpindahan ke Marseille dengan yuran perpindahan £27 juta (RM163 juta). Selain Greenwood, United juga bersedia meluluskan penjualan pemain lain termasuk Jadon Sancho.
Meskipun Sancho sudah menjernihkan kembali hubungannya dengan jurulatih, Erik ten Hag, khidmat pemain sayap berusia 24 tahun itu diintai kelab gergasi Itali, Juventus.