Advertisement
Manchester City Lebur Rekod Man Utd Penuh Bergaya
UEFA Champions League
MakanBola
Manchester City

Juara Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2023/24, Manchester City mencipta rekod baru dalam saingan Liga Juara-Juara UEFA (UCL).

Kemenangan 5-0 The Citizens ke atas Sparta Prague menyaksikan pasukan itu mencipta rekod tanpa kalah paling lama dalam UCL iaitu 26 perlawanan.

Rekod ini sekaligus memadamkan rekod yang dicipta musuh setempat mereka, Manchester United iaitu 25 perlawanan. Rekod ini dilakar antara tahun 2007 hingga 2009 semasa era Sir Alex Ferguson.

Rekod ini turut menyumbang kepada kejayaan menjulang trofi UCL ketiga United pada musim 2007/08. Musim tersebut menyaksikan pasukan itu dibarisi ramai pemain hebat termasuk Cristiano Ronaldo, Wayne Rooney, Carlos Tevez dan Nemanja Vidic.

Sebelum City, Bayern Munich hampir memecahkan rekod tersebut dengan 19 perlawanan dari 2019 hingga 2021 tetapi gagal.

Meskipun ada menganggap ini tidak terpakai kepada The Citizens kerana mereka tewas kepada Real Madrid pada musim 2023/24, hakikatnya rekod tersebut masih terpakai.

Ini kerana City berjaya mengikat Los Blancos 1-1 selepas tamat 120 minit perlawanan. Justeru, kekalahan menerusi penentuan sepakan penalti langsung tidak menjejaskan rekod tanpa kalah City.

Sejak tewas kepada Real Madrid dalam aksi separuh akhir musim 2021/22, City belum lagi mencatat sebarang kekalahan. Ini termasuk bergelar juara UCL pada musim 2022/23.

Rekod baru ini dijangka menyemarakkan lagi semangat City untuk menghadapi Southampton pada 26 Oktober ini.

The Citizens ketika ini turut merekodkan rekod tanpa kalah keempat paling lama dalam liga dengan 31 perlawanan. Rekod ini dilakar bila mereka meraih kemenangan dramatik 2-1 ke atas Wolverhampton Wanderers pada 20 Oktober lalu.