Advertisement
Manchester City Rancang Naik Taraf Stadium Etihad
EPL
MakanBola
Manchester City

Di sebalik kesibukan memburu potensi tiga trofi musim ini termasuk Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City tetap merancang untuk pelan jangka panjang. Hari ini, Citizens mengumumkan rancangan mereka menaik taraf stadium keramat mereka, Stadium Etihad dengan jangkaan projek siap dalam tempoh tiga tahun.

Penaiktarafan ini bukan sekadar menambah kapasiti stadium daripada 53,000 kepada 60,000 orang. Malah, City juga merancang mewujudkan kemudahan lain seperti muzium, hotel, zon khas penyokong dan gedung kelab yang baru.

Berdasarkan kertas kerja cadangan yang dihantar kepada Manchester City Council, kos penaiktarafan djiangka mencecah £300 juta (RM1.6 bilion). Inisiatif ini juga bakal mewujudkan lebih 2,600 peluang pekerjaan di timur Manchester.

Pengarah urusan operasi Citizens, Danny Wilson melihat penaiktarafan ini sebagai usaha berterusan pemilik kelab berkenaan, City Football Group (CFG) ke atas Greater Manchester sejak 2008.

“Saya ingin mengambil peluang ini untuk berterima kasih kepada para penyokong dan komuniti tempatan atas penglibatan mereka dalam sesi perundingan kami baru-baru ini, bukan saja kerana menyelesaikan kaji selidik tetapi berkongsi komen dan maklum balas yang terperinci dengan kami, semuanya telah dipertimbang dan disemak dengan teliti oleh kami.

“Seperti mana semua pembangunan kelab, memastikan komuniti tempatan kami meraih manfaat merupakan satu keutamaan dan kami percaya cadangan-cadangan ini bakal membawa peluang ekonomi dan sosial jangka panjang, meneruskan pembangunan semula di timur Manchester oleh City Football Group sejak 2008,” katanya dalam satu kenyataan.

Penaiktarafan ini dijangka memberi tamparan hebat kepada musuh setempat, Manchester United. Ini kerana walaupun mereka menunjukkan kebangkitan di bawah bimbingan Erik ten Hag, Old Trafford pula mengalami nasib berbeza.

Ini kerana Old Trafford dianggap terkebelakang dari status pemodenan dan langsung tidak mencerminkan status United sebagai kelab elit Eropah. Atas sebab inilah, ramai mengharapkan penjualan kelab yang berjalan ketika ini disegerakan agar Red Devils tidak terus ketinggalan di belakang City.