Manchester United perlu bersiap siaga dengan lebih rapi apabila dipertemukan dengan pasukan kuat dalam lima perlawanan awal liga.
Musim 2025/2026 hadapan bakal menarik perhatian ramai penyokong bola sepak yang mahu melihat keberkesanan formula Ruben Amorim selaku pengurus Manchester United.
United kini kekal menyokong idea pembaharuan oleh Ruben Amorim apabila telah membawa masuk Matheus Cunha untuk memperkuatkan jentera serangan pasukan.
Beberapa pemain seperti Bryan Mbeumo dan Viktor Gyokeres turut berada dalam radar United namun masih berada dalam fasa awal rundingan.
Premier League telah mengumumkan jadual bagi musim 2025/2026 kelak dan sekali lagi Manchester United menjadi tumpuan ramai apabila bakal bertemu Arsenal pada perlawanan pembukaan.
Fulham dan Burnley menjadi lawan seterusnya buat United bagi aksi bulan Ogos ini sebelum pasukan itu diuji dengan lebih hebat pada bulan September.
Manchester City bakal menerima kunjungan United pada 13 September kelak bagi perlawanan keempat liga dan Chelsea pula menjadi lawan untuk perlawanan kelima United pada 20 September.
3 pasukan besar ini bakal menguji United pada awal musim liga sekaligus memaksa United mempercepatkan rundingan mendapatkan pemain baru bagi membentuk skuad ideal.
United merekodkan satu keputusan seri (1-1) dan kalah (2-0) kepada Arsenal dalam saingan liga musim lalu.
United turut tewas aksi terakhir bertemu Chelsea (1-0) dan seri ketika aksi November tahun lalu (1-1) manakala rekod bertemu City pula menyaksikan United menang (2-1) dan seri (0-0) dalam dua aksi liga.
Amorim berjaya membawa United ke perlawanan akhir Liga Europa musim lalu dan bergelar naib juara setelah tewas 0-1 kepada Tottenham Hotspur.
Namun aksi pasukan tersebut dalam saingan liga amat mengecewakan apabila United menamatkan liga di tangga ke-15 yang merupakan pencapaian terburuk kelab sejak ketiadaan Sir Alex Ferguson.