Pengendali Melaka FC, K. Devan menyerahkan keputusan kepada pengurusan pasukan berkenaan statusnya sebagai jurulatih.
Selepas dibawa masuk sebagai jurulatih menggantikan pengendali Portugal, Pedro Hipolito, Melaka bangkit untuk musim 2024/25.
Pasukan itu muncul juara Liga A1 Semi-Pro dengan bergaya apabila meraih 71 mata. Lebih manis, Melaka merekodkan 22 kemenangan, lima keputusan seri dan satu kekalahan sepanjang musim.
Abdul Azeem Rahim terus mengekalkan gelaran penjaring terbanyak apabila menyumbat 22 gol bersama Melaka.
Apabila ditanya tentang statusnya bersama Melaka pada musim hadapan, Devan memaklumkan beliau ingin kekal bersama pasukan itu.
Pada masa sama, beliau turut menyerahkan keputusan kepada pengurusan pasukan berhubung kedudukannya.
“Pengurusan mahukan saya teruskan dengan projek ini untuk ke Liga Super. Saya akan sambung dan terpulang kepada pengurusan sama ada (saya) layak memegang Melaka FC ke Liga Super,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Melaka layak ke Liga Super selaku juara Liga A1 Semi-Pro. Walau bagaimanapun, mereka perlu memastikan telah memenuhi syarat-syarat pelesenan yang ditetapkan First Instance Body (FIB).