Dilaporkan seramai 13 pemain Thailand mengalami cirit-birit selepas hadir ke Namangan, Uzbekistan bagi melakukan persiapan menjelang aksi kelayakan Piala Asia 2023 yang bermula hari ini.
Situasi getir yang melanda pasukan Thailand itu telah disahkan oleh pemain pertahanan kiri mereka, Theerathorn Bunmathan dalam sidang media pra-perlawanan semalam. Pemain itu juga memberitahu media bahawa para pemain Thailand berdepan kesukaran untuk membiasakan diri dengan makanan di Uzbekistan.
“Secara keseluruhan, Thailand sudah bersedia untuk aksi kelayakan yang akan datang ini. Namun terdapat sedikit masalah kerana kami tidak biasa dengan makanan di Uzbekistan. Sehingga waktu ini, 13 pemain kami mengalami cirit-birit sebelum perlawanan menentang Maldives,” kata Theerathorn dalam sidang media.
Pasukan Thailand sudah tiba di Namangan sejak 4 Jun lepas untuk membuat persiapan menghadapi perlawanan Kumpulan C peringkat ketiga kelayakan Piala Asia 2023. Mereka dijadualkan akan menentang Maldives hari ini (8 Jun), kemudian Sri Lanka pada 11 Jun sebelum berdepan pasukan gergasi Asia yang juga merupakan pasukan tuan rumah, Uzbekistan.
Dengan masalah cirit-birit yang melanda pasukan Thailand, Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) telah mengemukakan petisyen kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk memohon penggantian pemain sekiranya sesetengah pemain mengalami cirit-birit dan tidak dapat sembuh dengan kadar segera.
Namun barisan pemain kendalian Mano Polking ini dijangkakan tidak berdepan masalah untuk menewaskan Maldives dan pasukan Thailand akan turun menentang Maldives hari ini dengan barisan pemain sedia ada iaitu pemain simpanan.
“Kami akan menggunakan pemain simpanan esok. Kami akan cuba yang terbaik, dan saya percaya ia akan menjadi perlawanan yang bagus, kerana pihak lawan juga sedang membuat persiapan. Thailand akan melakukan segala yang termampu dan melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2023,” tambah Theerathorn seperti dilaporkan Beamingcoyote.