Selepas Mark Miligan, Harimau Malaya bakal diperkuatkan dengan kehadiran seorang lagi penolong jurulatih dari Australia.
Ini selepas wartawan sukan The Star, T. Avineshwaran memaklumkan bekas jurulatih BG Pathum United, Matt Smith dilihat berada di Stadium MBPJ bersama jurulatih skuad negara, Peter Cklamovski.
Smith dan Cklamovski disertai Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Harimau Malaya, Dr. Craig Duncan. Trio tersebut hadir untuk menyaksikan aksi final kedua MFL Challenge Cup antara PDRM FC dan Selangor FC.
“Selain Mark Milligan, nampaknya Matt Smith, bekas pemain Brisbane Roar akan menyertai staf kejurulatihan Peter Cklamovski.
“Smith menganalisis perlawanan final (kedua) MFL Challenge Cup antara Selangor dan PDRM bersama Cklamovski dan Dr Craig Duncan,” katanya di X.
Sebelum ini, Smith merupakan penolong jurulatih kepada jurulatih Macarthur FC, Mile Sterjovski. Walau bagaimanapun, juara Australian Cup itu mengumumkan jurulatih berusia 42 tahun itu telah meninggalkan pasukan baru-baru ini.
Keputusan itu dibuat bekas bintang Brisbane Roar itu kerana beliau mendapat peluang menarik di luar negara.
Selain BG Pathum United, beliau juga pernah melatih Brisbane City. Smith juga pernah menggalas peranan sebagai pengarah sukan Brisbane City dan pengarah teknikal The Rabbits.