Media Korea Lapor Beberapa Individu Terlibat Dalam Jenayah Bola Sepak

K League Yonhap Media Korea Lapor Beberapa Individu Terlibat Dalam Jenayah Bola Sepak
Yonhap
Azim Noor @mohdazim45
8:25pm 13/09/2023

Arena bola sepak Korea Selatan dikejutkan dengan penglibatan beberapa figura dalam jenayah rasuah.

Korea Football News melaporkan 12 individu termasuk bekas penolong jurulatih skuad Korea Selatan, Choi Tae-uk disiasat pihak berkuasa atas kesalahan rasuah.

Tae-uk didakwa merasuah dua figura utama kelab K-League 2, Ansan Greeners iaitu CEO, Lee Jong-geol dan pengurus, Lim Jong-heon. Suapan tersebut diberi dengan tujuan pemain-pemain yang dilatihnya diberi peluang beraksi dalam pasukan itu.

Bekas pemain Korea Selatan itu merupakan individu terbaru yang diheret dalam kes rasuah membabitkan dua individu berkenaan.

Pada Julai lepas, The Korea Times melaporkan Jong-heon didakwa di mahkamah atas dakwaan menerima suapan berjumlah 40 juta won (RM140,942) daripada seorang ejen bola sepak bernama Choi.

Selain itu, beliau juga didakwa atas kesalahan cuba menipu seorang pemain dengan nilai 60 juta won (RM211,413).

Choi kini menjadi buruan selepas pendakwaraya memohon waran tangkap dikeluarkan ke atasnya. Ejen bola sepak itu didakwa memberi suapan kepada beberapa jurulatih kelab dan universiti Korea dengan nilai suapan RM236,078.

Berita ini dijangka menambah situasi panas yang menyelubungi bola sepak Korea Selatan sejak kebelakangan ini. Sebelum ini, wujud khabar angin pergeseran antara jurulatih Jurgen Klinsmann dengan pengurusan Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA).