Megat Amir Faisal Pasti Berbangga Dengan Pilihan Kim Pan-gon
Harimau Malaya
Negeri Sembilan FC
Advertisements

Tiada apa yang lebih bermakna buat seorang jurulatih apabila anak-anak didiknya berjaya melangkah dengan lebih jauh dalam karier masing-masing. Itulah yang berlaku kepada jurulatih penjaga gol Negeri Sembilan FC, Megat Amir Faisal.

Jurulatih berusia 44 tahun itu sudah tentu berhak untuk berasa bangga selepas melihat senarai pemain yang dipanggil ke kem skuad Harimau Malaya. Mana tidaknya, tiga penjaga gol yang terpilih merupakan pemain yang pernah mendapat sentuhan ajaib beliau.

Ketiga-tiga penjaga gol tersebut adalah Ahmad Syihan Hazmi, Damien Lim dan Sikh Izhan Nazrel. Umum mengetahui bahawa Syihan merupakan penjaga gol Negeri Sembilan musim lalu dan menampilkan aksi berkualiti sebelum memilih untuk menyertai juara sembilan kali Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Advertisements

Manakala Damien Lim yang kini merupakan penjaga gol utama Sabah FC pernah mendapat tunjuk ajar dari Megat Amir selepas membarisi skuad ‘The Jangs’ untuk musim 2021 yang mana menyaksikan Negeri Sembilan menjadi juara Liga Premier. Damien membuat keputusan untuk berhijrah ke Sabah pada musim 2022.

Pemilihan penjaga gol utama Negeri Sembilan musim ini, Sikh Izhan mungkin agak mengejutkan ramai memandangkan beliau baru berusia 21 tahun dan telah dibolosi dengan banyak jaringan. Namun sudah tentu barisan kejurulatihan dan penganalisis Harimau Malaya mempunyai sebab tersendiri untuk memanggil penjaga gol muda itu.

Memetik status di laman Facebook Megat Amir Faisal, beliau mengucapkan selamat berjaya kepada keempat-empat penjaga gol yang terpilih termasuk penjaga gol Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Kalamullah Al-Hafiz.

Advertisements

Skuad Harimau Malaya dijangka akan melapor diri pada 18 Mac (Sabtu) dan pemain-pemain akan berkampung di Johor Bahru sebelum melalui dua perlawanan antarabangsa.

Malaysia akan menentang Turkmenistan pada Khamis, 23 Mac pada jam 10.00 malam sebelum menentang Hong Kong bagi aksi kedua pada Selasa, 28 Mac di Stadium Sultan Ibrahim.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram