Melaka FC membuka kempen Liga A1 Semi Pro dengan langkah kanan apabila membelasah PIB Shah Alam 4-1 di Stadium USIM, Nilai, Negeri Sembilan hari ini.
Meskipun hadir sebagai pelawat, anak buah K. Devan diperkuat penjaring terbanyak liga musim lepas, Abdul Azim Rahim dan dua pemain import, Fuseini Issah dan Michael Onyekachi Ozor.
Sementara PIB yang dibimbing Azrin Mohamed pula berharap dapat mencipta kejutan ke atas Melaka menerusi barisan pemain tempatan.
Melaka tidak menunggu lama membuka tirai jaringan menerusi kapten, Nasir Basharudin pada minit ketujuh.
Tersentak, PIB melancarkan serangan demi serangan untuk mendapatkan gol penyamaan. Hasilnya, Syukri Azman menyamakan kedudukan buat tuan rumah pada minit ke-30.
Kegembiraan PIB tidak bertahan lama apabila Melaka kembali di hadapan lapan minit selepas itu. Gol kedua pelawat disumbang oleh Issah.
Melaka terus ghairah memburu jaringan tambahan tetapi penjaga gol PIB, Nor Amin Mat Gani memastikan keputusan 2-1 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Melaka terus menggandakan serangan ke atas kubu tuan rumah menerusi Abdul Azim dan Onyekachi Ozor.
Keadaan ini memaksa Nor Amin bekerja keras menafikan setiap serangan yang direncanakan anak buah Devan.
Gol ketiga yang dicari Melaka akhirnya hadir pada minit ke-83 selepas pasukan itu dianugerahkan sepakan penalti. Penalti tersebut mudah disempurnakan Abdul Azim untuk menewaskan Nor Amin.
Bekas pemain Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) II, Nizaruddin Jazi melengkapkan kecemerlangan Melaka dengan gol keempat pada minit ke-90. Keputusan 4-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Melaka menjadi pendahulu liga selepas satu perlawanan. Kedudukan ini boleh saja berubah apabila tiga lagi perlawanan Liga A1 Semi Pro berlangsung pada malam ini.