Pengurusan Melaka FC sudah memiliki perancangan kewangan jika pasukan itu layak ke saingan Liga Super musim hadapan.
Perkara itu dinyatakan pemilik pasukan itu, Datuk Wira Nur Azmi Ahmad apabila ditanya tentang perancangan pasukan itu.
Antara perkara utama yang bakal menjadi fokus utama Melaka ialah kebajikan pemain. Nur Azmi mahu memastikan aspek ini diutamakan agar pemain dapat fokus kepada persembahan di atas padang.
“Saya akan buat macam pasukan yang saya ada sekarang. Dari segi gaji yang tidak mahal tetapi kita bayar tepat pada masanya,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
“Dari segi bonus yang tak tinggi tetapi kita bayar tepat pada masanya. Sebenarnya, perancangan kewangan amat penting kepada kebajikan pemain.
“Sudah tentu peluang yang diberikan kepada kita nanti, kita akan buat yang terbaik supaya tidak berlaku lagi (masalah) yang lepas dan juga yang menimpa pasukan lain.”
Melaka layak ke Liga Super selepas meraih gelaran juara Liga A1 Semi-Pro musim 2024/25.
Meskipun begitu, kelayakan pasukan itu turut bergantung kepada pengurusan Melaka memenuhi syarat-syarat pelesenan yang ditetapkan First Instance Body (FIB).