Pengendali Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) II, Khairan Eroza Razali mengakui berdepan kesukaran mengekalkan mentaliti anak buahnya pada tahap terbaik.
Kelantan DN II ketika ini menerajui carta Piala MFL musim 2024/25 dengan 17 mata, satu mata di hadapan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) II.
Ini selepas pasukan itu merekodkan lima kemenangan dan dua keputusan seri. Kelantan DN II juga antara dua pasukan yang masih belum tewas dalam Piala MFL selepas KL City FC Extension.
Khairan mengakui disebabkan banyak rehat membabitkan pasukannya, ini menyukarkan barisan pemain muda Kijang Emas untuk mengekalkan momentum mereka.
Keadaan ini menyebabkan barisan kejurulatihan Kelantan DN II menerapkan sesi latihan yang bercorak taktikal dan kecergasan bagi memastikan mereka kekal fokus.
“Kami menjalani latihan setiap hari dan tumpuan kami pada aspek kecergasan serta taktikal. Apa saya perhatikan, mentaliti pemain sedikit menurun sebab saingan liga banyak rehat dan tidak ada perlawanan kompetetif,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagi mengatasi masalah ini, pengurusan Kijang Emas bakal mengatur beberapa aksi persahabatan untuk Kelantan DN II. Ini membantu mereka kekal kompetitif sebelum kembali bersaing dalam Piala MFL.
“Minggu hadapan kami rancang perlawanan pemanas badan dengan skuad belia. Selepas itu, mungkin satu perlawanan setiap minggu sebelum kita turun perlawanan Piala MFL,” ujarnya.
Khairan Eroza turut mendedahkan pasukan itu tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menambah pemain baru walaupun tetingkap perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) sudah dibuka.
Ini kerana beliau berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan skuad muda Kijang Emas dalam Piala MFL setakat ini.