Pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Brad Tapp menghargai sokongan peminat selepas mencetak gol pertamanya bersama pasukan itu.
Gol yang dicari-cari bekas pemain Central Coast Mariners (CCM) itu hadir dalam aksi suku akhir pertama Piala FA antara Penang FC dan JDT di Stadium Bandaraya. JDT meraih kemenangan besar 7-2.
Tapp menyumbat dua gol dalam aksi berkenaan. Selain beliau, Bergson da Silva, Marcos Guilherme, Stoichkov, Shahab Zahedi dan Arif Aiman Hanapi turut mencetak nama sebagai penjaring.
Pemain warisan baharu Harimau Malaya itu menghargai sokongan penyokong JDT sepanjang perlawanan. Tapp juga merasa gembira kerana dapat mencetak gol bersama Harimau Selatan.
“Terima kasih kepada semua penyokong yang hadir, satu suntikan besar malam ini. Ia satu perlawanan yang bagus, tujuh gol (buat JDT).
“Saya gembira kerana dapat menjaringkan gol pertama dan kedua tetapi sedikit kecewa bila kita dibolosi dua kali pada minit akhir perlawanan. Tetapi selain itu, ia satu persembahan yang bagus.
“Terima kasih sekali lagi kepada yang hadir (di Stadium Bandaraya) dan kita akan bertemu lagi selepas rehat (antarabangsa). Terima kasih semua,” katanya dalam satu video yang disiarkan di semua platform Johor Southern Tigers.
Sejak menyertai JDT pada awal musim ini, pemilik nama sebenar Bradley Anthony Tapp itu telah merekodkan lima penampilan dan dua gol setakat ini.
Tapp kini bersama skuad Harimau Malaya untuk kempen FIFA ASEAN Cup. Bekas pemenang Piala AFC itu berpeluang meraih penampilan pertama di peringkat antarabangsa jika diturunkan dalam aksi pertama Kumpulan A menentang Bangladesh pada 25 September ini.