Mesin Gol Sri Pahang Terpaksa Berehat Panjang

Lucas Silva 2 Mesin Gol Sri Pahang Terpaksa Berehat Panjang
IG lslucassilva9
Nabil Fahmi @nabilfamy
10:57am 11/03/2023

Ketiadaan penyerang baharu Sri Pahang FC, Lucas Espindola da Silva ternyata menggusarkan penyokong skuad ‘Tok Gajah’ itu. Apatah lagi, penyerang dari Brazil itu dicanang sebagai bakal menjadi mesin gol buat Sri Pahang dalam menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini.

Wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam baru-baru ini berkongsikan mengenai status sebenar Lucas Silva yang masih belum membuat penampilan buat Sri Pahang setakat ini. Difahamkan, Lucas mengalami kecederaan yang memaksa beliau terpaksa berehat beberapa bulan.

“Belum sempat buat penampilan dalam Liga Malaysia musim ini, Lucas Espindola da Silva difahamkan perlu berehat dalam tempoh beberapa bulan akibat kecederaan lutut,” kongsi Zulhelmi di laman twitter beliau.

Ini bermakna, Sri Pahang kini hanya mempunyai Kpah Sherman sebagai penyerang import yang bakal merobek gawang gol lawan. Selain Kpah, pemain naturalisasi negara, Sergio Aguero yang juga kapten pasukan akan menjadi harapan Sri Pahang musim ini.

Untuk info, Lucas Silva merupakan penyerang berbisa buat Penang FC musim lalu dan dibawa masuk ke Sri Pahang bagi saingan musim 2023. Penyerang berusia 32 tahun itu menonjol bersama Penang selepas meledak 11 jaringan dalam 15 perlawanan musim lalu.