MFL Denda KL City & PDRM RM45 Ribu
MakanBola
Kuala Lumpur City FC

Malaysia Football League (MFL) menjatuhkan denda sebanyak RM45,000 ke atas Kuala Lumpur City FC (KL City FC) dan PDRM FC.

Keputusan hukuman itu dibuat selepas mesyuarat Jawatankuasa First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab MFL yang diadakan pada Selasa.

Semua proses termasuk hukuman denda telah dilaksanakan berdasarkan keseluruhan dokumen permohonan yang telah dikemukakan oleh kelab dengan mengambil kira tahap pematuhan terhadap Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2025–2026 (MFL CLR).

Denda tersebut dijatuhkan ke atas kedua-dua pasukan mengikut Artikel 8 (f) MFL CLR. Meskipun begitu, kedua-dua pasukan boleh menghela nafas lega kerana mereka dapat beraksi dalam Liga Super musim hadapan.

Ini kerana mereka antara empat pasukan Liga Super yang diberi Lesen Kebangsaan dengan ‘sanction’. Selain KL City dan PDRM, Melaka FC dan Imigresen FC turut mendapat lesen sama.

Justeru, FIB mengarahkan keempat-empat pasukan mengemukakan maklumat tambahan kewangan bagi memenuhi keperluan Kriteria Kewangan dan Kriteria Infrastruktur selewat-lewatnya pada 15 Julai ini.

Sekiranya mereka gagal berbuat demikian dalam tempoh yang ditetapkan, isu itu akan dirujuk kepada FIB untuk tindakan selanjutnya.

FIB turut mengumumkan pasukan Pantai Timur, Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) gagal mendapat Lesen Kebangsaan untuk musim 2026/27. Ini disebabkan permohonan pasukan itu tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan di bawah Peraturan Pelesenan MFL.