Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bersedia membantu persiapan Harimau Malaya menghadapi ASEAN Cup 2024 yang membuka tirainya pada 8 Disember ini.
Sebelum ini, ramai peminat bola sepak negara tertanya-tanya sama ada saingan Liga Malaysia (Liga M) akan diteruskan atau tidak semasa kejohanan berlangsung.
Ini kerana sekiranya saingan liga diteruskan pada Disember ini, ini akan menyukarkan Pau Marti Vicente memanggil barisan pemain terbaik untuk kejohanan serantau yang berprestij itu.
Meskipun begitu, jurulatih Sepanyol itu memaklumkan barisan kejurulatihan Harimau Malaya bersedia dengan setiap situasi untuk ASEAN Cup 2024.
“Ya, saya fikir ia akan diputuskan tidak lama lagi. Kita masih menunggu pengesahan kalendar liga (Liga Super) dan piala (Piala Malaysia).
“Apabila perkara itu disahkan, kita akan bersedia dari segi situasi dan senario. Apabila hal ini sudah diputuskan, kita akan maklumkan.
“Buat masa sekarang, kita akan fokus kepada Laos dan India sebelum kita fokus kepada aksi seterusnya. Kemudian, dari situ kita akan buat keputusan,” katanya.
Kini, MFL mengumumkan baki jadual perlawanan yang akan dihadapi pasukan-pasukan Liga Super sehingga akhir musim 2024/25 termasuk pada Disember ini.
Keputusan tersebut dibuat bagi memastikan saingan Liga Super dapat ditamatkan mengikut jadual pada April 2025 bagi mengelakkan sebarang isu kontrak pemain. Sekiranya saingan liga berakhir lewat, ini bakal menambah lagi beban kewangan yang dihadapi kelab-kelab.
MFL juga telah mengadakan perbincangan dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tentang situasi Harimau Malaya.
Badan pengelola liga itu bakal membantu pasukan yang melepaskan pemain untuk kempen ASEAN Cup 2024 dari segi penyusunan jadual.
Malaysia berada dalam Kumpulan A bersama juara bertahan, Thailand, Singapura, Kemboja dan Timor Leste. Skuad negara bakal membuka kempen ASEAN Cup 2024 dengan menentang Kemboja pada 8 Disember ini.