Penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuching City FC memiliki empat pilihan harga tiket untuk aksi final Piala Malaysia di TM Stadium Nasional pada 23 Mei ini.
Malaysian Football League (MFL) memaklumkan empat pilihan harga tiket tersebut ialah tiket General Admission yang berharga RM50 dan RM70, Premium (RM150) dan VIP Grandstand (RM200).
Kesemua harga tiket yang diumumkan pada Khamis sama seperti harga tiket yang ditawarkan pada final edisi 2024/25.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd berharap dengan pengumuman tiket awal ini, ini akan membantu penyokong kedua-dua pasukan membuat perancangan awal untuk aksi final.
“Dengan pengumuman awal harga tiket ini kami berharap penyokong JDT dan Kuching City FC dapat membuat persiapan awal dalam merancang perjalanan mereka ke TM Stadium Nasional untuk memberikan sokongan padu kepada pasukan masing-masing.
“Apatah lagi bagi penyokong Kuching City FC yang bakal merasai pengalaman beraksi di pentas final buat kali pertama, MFL berharap informasi awal ini dapat memberi masa yang cukup untuk mereka membuat perancangan perjalanan dengan lebih teratur,” katanya.
Shazli turut memaklumkan urusan penjualan tiket akan dikendalikan oleh pengurusan JDT dan Kuching City.
Langkah ini dilihat bukan saja lebih tersusun dari segi penjualan tiket. Malah, ia bersifat lebih adil buat penyokong kedua-dua pasukan.
Penyokong boleh mendapatkan maklumat lanjut behubung pembelian tiket menerusi pengumuman rasmi yang akan pengurusan JDT dan Kuching City FC dalam masa terdekat.
JDT dan Kuching City mara ke final selepas menewaskan lawan masing-masing di peringkat separuh akhir. JDT mara dengan menyingkirkan juara edisi 2021, Kuala Lumpur City FC (KL City FC).
Kuching City pula mara dengan menyingkirkan juara 33 kali, Selangor FC. Pasukan itu turut menjadi wakil Sarawak pertama layak ke final sejak edisi 1999.