Advertisement
Misi Dua Dalam Satu Hafizh Syarin Di Zhuhai
UltraSukan
UltraSukan
JDT Racing Team

Menjelang pusingan kedua Asia Road Racing Championship (ARRC) 2024 di Zhuhai, China yang bermula hujung minggu ini, Hafizh Syahrin Abdullah membawa misi dua dalam satu.

Pelumba JDT Racing Team itu mahu menambah koleksi podium yang diraihnya selepas berjaya melakukannya di Buriram, Thailand pada bulan lepas.

Hafizh yang bersaing dalam kategori Asian Superbike 1000cc (ASB1000) berharap dapat meraih podium untuk perlumbaan pertama dan kedua di Zhuhai.

Ini kerana semasa di Buriram, beliau terpaksa melupakan hajat meraih podium dalam perlumbaan pertama akibat masalah teknikal pada jentera Ducatinya.

Hafizh kemudiannya bangkit dalam perlumbaan kedua ASB1000 dengan meraih tempat kedua di belakang juara perlumbaan dari Indonesia, Andi Farid Izdihar.

Kejayaan itu menyaksikan Hafizh berjaya mengutip 20 mata selepas pusingan pertama, 25 mata di belakang Andi.

Pelumba Honda Asia-Dream Racing Team itu mendahului pelumba veteran negara, Azlan Shah Kamaruzzaman yang mengutip 36 mata. Sementara rakan sepasukan Andi dari Thailand, Nakarin Atiratphuvapat di tempat ketiga dengan 27 mata.

Hafizh dilihat sudah melaungkan amaran kepada barisan pelumba kategori ASB1000 lain bahawa beliau ingin bergelar juara.

Ini selepas beliau mencatatkan 1:34.798 saat (s) untuk catatan masa terpantas sesi latihan ketiga kategori ASB1000 hari ini.

Azlan Shah yang menunggang jentera TKKR BMW Racing Team merekodkan catatan masa 1:34.889 s. Manakala Andi pula di tempat ketiga dengan catatan masa 1:34.908 saat.

Pusingan kelayakan dan perlumbaan pertama ASB1000 bakal berlangsung esok. Ini disusuli perlumbaan kedua ASB1000 yang berlangsung pada Ahad ini.