Misteri kehilangan penjaga gol utama Selangor FC, Sam Somerville kini terjawab.
Pemain berusia 30 tahun itu menjadi sandaran utama pasukan ketika dikendalikan oleh bekas jurulatih, Nidzam Jamil pada awal musim 2024/25.
Kelibat beliau bagaimanapun kurang kelihatan terutamanya selepas Gergasi Merah tunduk dengan keputusan 6-1 pada aksi final Piala FA 2024 berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Posisi penjaga gol nombor satu Selangor ketika ini digalas oleh pemain muda negara, Azim Al-Amin yang terus mendapat kepercayaan pengendali baharu, Katsuhito Kinoshi.
Selangor juga sudah membawa masuk watak baharu pada posisi penjaga gol dari Kedah iaitu Kalamullah Al-Hafiz yang bakal menggalas cabaran Gergasi Merah.
Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Sam Somerville berada dalam senarai kecederaan selepas mengalami kecederaan lutut bersama-sama Noor Al-Rawabdeh, Ruventhiran dan Nikola Jambor.
Beberapa pemain seperti Harith Haiqal, Khuzaimi Piee dan juga Safuan Baharuddin dilepaskan untuk membantu pasukan kebangsaan masing-masing.
Negeri Sembilan bakal menjadi lawan Selangor bagi aksi ke-16 Liga Super sebelum menentang Kelantan DN bagi aksi suku akhir MFL Challenge Cup.