Misi besar Selangor FC terpaksa diteruskan juga tanpa kehadiran 5 pemain utama.
Gergasi Merah baru sahaja tersingkir daripada dua kejohanan utama iaitu Piala Malaysia dan juga AFC Champions League Two (ACL2).
Finalis Piala FA 2024 itu kini boleh memberikan fokus sepenuhnya bagi dua kejuaraan berbaki musim ini iaitu MFL Challenge Cup dan juga kejuaraan Liga Super.
Perjuangan besar itu bagaimanapun terpaksa diteruskan tanpa kehadiran beberapa tonggak utama akibat pelbagai faktor.
Selangor telah melepaskan tiga pemain utama untuk membantu Harimau Malaya iaitu Kalamullah Al-Hafiz, Khuzaimi Piee dan juga Harith Haiqal bagi aksi ASEAN Championship.
Bukan itu sahaja, kapten Selangor FC iaitu Safuwan Baharudin juga terpaksa dilupakan selepas kelab membenarkannya untuk membantu Singapura bagi aksi AMEC kali ini.
Selangor juga mengesahkan bahawa beberapa pemain lain seperti Noor Al-Rawabdeh, Sam Somerville, Nikola Jambor dan Ruventhiran berada dalam senarai kecederaan pasukan.
Pengendali pasukan, Katsuhito Kinoshi berharap agar pengajaran berguna dapat diperolehi anak buahnya sekaligus memastikan perjalanan bagi musim ini berjalan lancar.
“Kita (Selangor) perlu belajar daripada aksi terdahulu. Kita perlu memiliki motivasi untuk layak tetapi kita perlu ada motivasi besar untuk bermain. Saya tegaskan pemain tentang aspek tersebut,” katanya.
Skuad Merah Kuning bakal membuka langkah Challenge Cup berdepan Kelantan DN pada 12 Disember ini namun perlu melepasi ujian Negeri Sembilan pada 9 Disember aksi Liga Super bagi memburu trofi pertama domestik musim ini.