Pemain pertahanan baru Selangor FC, Mohammad Abualnadi menganggap saingan Liga Malaysia (Liga M) cukup mencabar terutama dari segi fizikal.
Pemerhatian ini dibuat beliau selepas sah menjadi tonggak import terbaru Merah Kuning baru-baru ini. Sebelum menyertai Selangor, beliau pernah beraksi untuk beberapa kelab seperti Sporting Kansas City II (Amerika Syarikat), Al-Hussein SC (Jordan) dan Al-Shamal (Iraq).
Abualnadi yang mesra disapa Nadi itu melihat saingan Liga M lebih mencabar daripada apa yang disangka. Ini kerana pemain perlu bersedia untuk bekerja keras terutama dari segi larian.
Atas sebab itu, Nadi melihat proses penyesuaian diri bersama Merah Kuning cukup penting bagi membantunya mempamerkan prestasi terbaik di atas padang.
“Saya fikir di sini, (Liga M) lebih mencabar daripada apa yang orang fikirkan. Dan dari segi banyak melakukan larian.
“Jadi, dengan (mengambil kira aspek) itu, saya fikir berkenalan dengan rakan sepasukan, berbual dengan mereka dan lebih mengenali mereka,” katanya dalam satu video yang disiarkan di YouTube rasmi Selangor.
Nadi turut berikrar untuk melakar sejarah bersama Merah Kuning di pentas Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) dan membantu pasukan itu cemerlang dalam liga.
“Insya Allah ia akan jadi satu musim yang sangat baik dan sepanjang musim dari segi liga. Dan Insya Allah, dalam Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2), kita akan mencipta sejarah bersama-sama,” ujarnya.
Kata-katanya dilihat selaras dengan hasrat jurulatih Selangor, Nidzam Jamil yang melihat Nadi sebagai aset pasukan itu di pentas ACL2.
Beliau menjadi pemain import terbaru Merah Kuning selepas Ali Olwan, Noor Al-Rawabdeh, Alvin Fortes, Yohandry Orozco, Ronnie Fernandez, Alex Agyarkwa, Umarbek Eshmurodov dan kapten, Safuwan Baharudin.