Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) telah mengumumkan kalendar bola sepak Liga Super Malaysia bagi musim 2024/2025 yang mengejutkan ramai pihak.
Menerusi satu pengumuman di laman sosial, setelah meneliti beberapa faktor, MFL membuat keputusan untuk mengikut transisi Liga Malaysia mengikut format kalendar Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Ini menyaksikan musim baharu Liga Malaysia akan bermula pada 3-5 Mei 2024 sehingga April 2025.
“MFL terpaksa melakukan sedikit perubahan pada tarikh asal sepak mula Liga Malaysia sebelum ini iaitu pada pertengahan April 2024.”
“Ini selepas mengambil kira beberapa faktor khususnya penglibatan pemain-pemain kelab Liga Malaysia bersama skuad senior kebangsaan, skuad bawah 23 tahun negara (B23), penyertaan kelab di Piala AFC 2023, persiapan pra-musim dalam bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri.”
Terdapat beberapa faktor yang diambil kira oleh MFL bagi menentukan jadual liga baharu termasuklah aksi Malaysia di pentas Piala Asia 2023.
“Selepas Liga Malaysia melabuhkan tirai pada 17 Disember 2023, pemain-pemain Harimau Malaya akan melaporkan diri ke kem latihan pusat pada 26 Disember 2023 sebelum mengharungi Kejohanan Piala Asia 2023 di Doha, Qatar pada 12 Januari 2024 hingga 10 Februari 2024.”
“Kemudian tugasan skuad Harimau Malaya akan diteruskan dengan perlawanan Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman pada 21 dan 26 Mac 2024.”
“Perubahan terhadap perancangan asal kalendar Liga Malaysia juga terpaksa dilakukan MFL berikutan pengumuman AFC berkenaan tarikh Piala Asia B-23 2024 hanya dibuat pada 17 Mei 2023.”
Selain itu, faktor pasukan Malaysia yang masih beraksi di pentas Piala AFC 2023 iaitu Sabah Fc pada tahun hadapan perlu diambil kira bagi memastikan pasukan memiliki masa untuk melakukan persiapan.
“Selain itu, Sabah FC juga bakal meneruskan kempen Piala AFC peringkat separuh akhir Zon Asean pada 13 atau 14 Februari 2024 serta penglibatan pemain muda kelab-kelab Liga Malaysia bersama Skuad B-23 negara di pusingan akhir Piala Asia B-23 Doha, Qatar bermula pada 15 April 2024 sehingga 3 Mei 2024,” jelas MFL.