Ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC, Nafuzi Zain menghargai kepercayaan penuh yang diberikan oleh pihak pengurusan Kedah buatnya dalam pemilihan pemain.
Bekas jurulatih Terengganu ini kini sudah mula menjalani latihan pra musim bersama pasukan baharunya bagi menempuh musim yang mencabar.
Katanya, sungguhpun mereka masih memerlukan masa untuk membentuk keserasian, beliau yakin memiliki ramuan terbaik untuk memacu kejayaan pasukan.
“Saya berterima kasih kepada pihak pengurusan Kedah kerana memberikan sokongan 100 peratus kepercayaan daripada segi pemilihan pemain.
“Pengurusan memenuhi apa yang saya minta jadi ia menjadi tugas mudah buat saya dengan pemilihan pemain dengan pemain yang saya mahu.”
Namun begitu, jurulatih muda berusia 45 tahun ini tetap mahu anak didiknya membuktikan kualiti sebenar di atas padang.
“Pemain yang kami pilih ini, kami tahu ada kualiti tetapi untuk membuktikan hebat atau tidak akan dittentukan dalam perlawanan sebenar,” katanya ketika ditemui di Padang MADA, semalam.
Setakat ini, hampir semua pemain tempatan sudah pun melaporkan diri kecuali yang terlibat dengan tugasan kebangsaan manakala beberapa pemain import masih belum melaporkan diri.