Advertisements
Nafuzi Zain: Kesilapan Mudah Buat Kedah Dihukum
Liga Super
MakanBola
Kedah Darul Aman FC

Pengendali Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain mengakui kesilapan mudah yang dilakukan anak buahnya menyebabkan pasukan itu tewas kepada Sabah FC.

Kedah berharap dapat mencuri mata daripada Sabah dalam aksi tertangguh liga yang diadakan di Stadium Likas pada 29 Oktober lalu.

Sang Kenari bangkit daripada ketinggalan sebanyak dua kali menerusi Jose Cleylton dan Milos Gordic. Ini selepas Sabah mendahului menerusi Saddil Ramdani dan Joao Pedro.

Kesilapan pada lewat permainan memberi ruang buat Pedro, S. Kumaahran dan Gary Steven Robbat memastikan kemenangan ketujuh Sabah dalam liga.

Nafuzi mengakui kesilapan terutama pada awal perlawanan memberi ruang kepada Sang Badak untuk mendahului.

Meskipun Kedah cuba mengejar, kelebihan fizikal yang dimiliki tuan rumah memastikan kemenangan 5-2 mereka sukar dicabar pada akhir perlawanan.

“Kita boleh nampak dari segi permainan, sedikit kelekaan pada awal permainan menyebabkan kita memberi penalti (kepada Sabah).

“Lepas itu, pemain bangkit dan mempamerkan permainan yang tersusun dan baik, mencipta beberapa peluang dari segi yang kita tengok Sabah memiliki kualiti dari segi kekuatan dan kelajuan. Di situ yang kita tewas dan sedikit kesilapan-kesilapan mudah (buat Kedah dihukum).

“Apabila kita mengawal keadaan, kita bermain dengan baik bila lawan buat silap. Apabila kita membuat kesilapan dan lawan menyerang, di situ yang kita memberi gol yang agak mudah,” katanya dalam sidang media pascaperlawanan.

Meskipun begitu, Nafuzi memuji komitmen tinggi yang dipamerkan Kedah. Ini kerana bukan mudah untuk mana-mana pasukan menjaringkan dua gol di Stadium Likas.

“Satu komitmen yang betul-betul tinggi dan persembahan yang begitu (baik). Saya tak boleh merungut dari segi persembahan walaupun dari segi keputusan, itu bukan yang kita inginkan.

“5-2, satu jumlah bolos yang agak tinggi tapi menjaringkan dua gol di Kota Kinabalu bukan satu benda yang mudah,” ujarnya.

Keputusan ini menyaksikan Kedah kekal di tangga ke-10 dengan 13 mata. Selepas ini, Sang Kenari mengalihkan fokus kepada aksi liga seterusnya menentang Selangor FC pada 2 November ini.

Aksi ini dilihat peluang buat anak buah Nafuzi membalas dendam. Ini kerana mereka tewas kepada Selangor 1-0 dalam aksi kedua liga di Stadium MBPJ pada Mei lalu.