Jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain menafikan beliau mengkritik Malaysian Football League (MFL) berhubung jadual yang dihadapi pasukannya.
Sebaliknya, bekas jurulatih Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23) itu hanya berkongsi tentang kesan jadual padat kepada anak buahnya. Ini termasuk aksi tertunda untuk aksi kedua pusingan 16 Piala FA menentang DPMM pada 16 September.
Nafuzi faham situasi ini berlaku disebabkan masalah jerebu yang melanda negara sehingga memberi kesan kepada jadual perlawanan.
“Apa yang saya maksudkan ialah pasukan saya, bukan penjadualan Liga Malaysia. Pemain memang penat kerana perjalanan, terutama apabila perlawanan Piala FA menentang DPMM FC terpaksa ditunda kerana jerebu dan kami perlu ke Brunei sekali lagi.
“Pada asalnya, kami sepatutnya bermain dua perlawanan di tempat sendiri sebelum ke Perlis, iaitu menentang Penang FC dan DPMM FC bagi perlawanan kedua Pusingan 16 Piala FA. Namun apabila perlawanan menentang DPMM FC ditunda, kami terpaksa melakukan perjalanan ke Brunei sekali lagi.
“Selepas itu, kami perlu meneruskan perjalanan ke Perlis untuk perlawanan Liga Super. Jadi, itulah yang saya maksudkan apabila saya menyebut pemain penat,” katanya.
Nafuzi juga faham bahawa aksi ini perlu diselesaikan segera lebih-lebih lagi dengan suku akhir pertama Piala FA akan berlangsung sebelum rehat kalendar antarabangsa FIFA.
“Tapi saya juga faham bahawa perlawanan pusingan 16 Piala FA ini perlu diselesaikan segera kerana suku akhir pertama Piala FA akan berlangsung sebelum rehat Kalendar FIFA, situasi ini berlaku bila perlawanan tertunda akibat jerebu.
“Apa yang boleh saya lakukan adalah dengan melakukan penggiliran pemain untuk mempersiapkan pasukan,” tambahnya.
Nafuzi turut menegaskan perjalanan tambahan yang perlu diharungi anak buahnya sebagai punca mereka keletihan dan bukan kerana faktor jadual Liga Malaysia (Liga M).
“Saya faham dalam bola sepak, perjalanan dan jadual yang padat adalah sebahagian daripada cabaran yang perlu dihadapi oleh setiap pasukan. Dalam kes kami, keadaan menjadi lebih mencabar kerana perlawanan Piala FA terpaksa ditunda atas faktor jerebu yang sememangnya di luar kawalan mana-mana pihak.
“Apabila perlawanan itu dijadualkan semula, kami perlu melakukan perjalanan ke Brunei sekali lagi dan selepas itu terus membuat persiapan untuk perlawanan di Perlis.
“Jadi, saya ingin jelaskan bahawa saya tidak mengkritik atau mempertikaikan penjadualan yang dikeluarkan oleh MFL kerana kita faham penundaan perlawanan akibat jerebu menyebabkan kami terpaksa mengharungi perjalanan yang panjang. Saya hanya menjelaskan keadaan fizikal pemain TFC selepas melalui perjalanan tersebut,” ujarnya.
Terengganu berharap dapat menempah tiket suku akhir Piala FA selepas memiliki kelebihan satu gol dalam aksi pertama. Sebelum ini, Peteh menewaskan DPMM 3-2 dalam aksi pertama pusingan 16.