Piala FA: Terengganu Bangkit Luar Biasa Kalahkan DPMM
MakanBola
Terengganu FC

Terengganu membawa bekalan tipis apabila menewaskan DPMM dalam aksi timbal balik pertama Piala FA 2026-2027 pada Rabu.

Pertemuan DPMM vs Terengganu menjadi satu-satunya aksi timbal balik pertama pusingan 16 Piala FA yang berlangsung pada minggu ini selepas perlawanan ditunda gara-gara situasi jerebu yang melanda Brunei minggu lalu.

Perlawanan yang dijadualkan semula ini bagaimanapun berakhir dengan kemenangan 3-2 memihak Terengganu dengan skuad Sang Penyu tampil memukau apabila bangkit dua kali sebelum atasi DPMM di tempat lawan.

DPMM terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit ke-10 hasil penyudah cantik penyerang England, Jordan Murray sebelum pertahanan Terengganu, Ubaidullah kembali menyamakan kedudukan selang 19 minit kemudian.

Nama Jordan Murray ini sekali lagi bergema di Stadium Hassanal Bolkiah apabila berjaya menjaringkan gol kedua DPMM pada minit ke-34, namun pelawat kembali mengikat kedudukan hasil tandukan Ubaidullah sebelum rehat.

Romel Morales muncul wira Terengganu dengan gol kemenangan pada minit ke-85 selepas menyambar hantaran lintang rakan sepasukan bagi melengkapkan kebangkitan bergaya pelawat sebelum aksi timbal balik kedua minggu hadapan.