Jurulatih skuad Malaysia B-23, Nafuzi Zain terbuka untuk memanggil bakat baharu untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan.
Kelibat Nafuzi Zain antara watak baharu bagi projek Revolusi Harimau Malaya dengan bekas jurulatih Terengganu ini akan membawa tugas besar membimbing pasukan muda negara.
Oleh itu, Nafuzi berkata, beliau sudah pun memulakan tugas seawal bulan Januari ini bagi memantau rapi pemain-pemain untuk dipanggil ke kem kebangsaan yang dijangka pada Mac hadapan.
”Sekarang pun saya telah memulakan pemantauan dari awal Januari dan mungkin panggilan untuk pertama kalinya pada bulan Mac,” kata Nafuzi Zain dalam FAMTV.
”Saya rasa dari segi kriteria pemain, sekarang ini saya telah memantau dan melihat pasukan yang bertanding dan pemain yang terlibat di Liga Super dan Piala MFL.”
”Kita tengok dari segi potensi pemain yang bersesuaian dengan cara kita bermain,” ujar Nafuzi Zain.
Jelas beliau, beliau meluahkan keterbukaan untuk memanggil mana-mana pemain yang dilihat berada di prestasi terbaik sama ada bakat baharu atau pun pemain sedia ada ketika ini.
”Kita tahu kebanyakan pemain yang menyertai kejohanan sebelum ini masih boleh bermain dan saya terbuka kepada mana-mana pemain.”
“Dan mungkin juga memberi peluang kepada pemain dan bakat baharu untuk dipanggil dan juga pemain sedia ada yang mempamer aksi terbaik akan berada di dalam pasukan.”
Nafuzi dan pasukan B-23 kebangsaan bakal mengharungi 3 aksi penting di tahun 2025 ini iaitu kejohanan AFF B-23, Kelayakan Piala Asia B-23 dan temasya Sukan Sea Thailand.