Pengendali baharu skuad Malaysia bawah 23 tahun, Nafuzi Zain bakal berdepan 3 tugas besar bermula 2025.
Pada Isnin, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan mengumumkan Nafuzi Zain selaku ketua jurulatih baharu yang bakal mengendalikan pasukan bawah 23 tahun negara.
“Bekas ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC, Nafuzi Zain dilantik bagi memastikan kesinambungan dalam skuad B-23 kebangsaan yang berperanan sebagai pembekal bakat-bakat muda untuk dinaikkan ke skuad senior kebangsaan,” umum FAM.
Badan induk tersebut berharap dengan sentuhan Nafuzi, skuad muda negara mampu tampil garang semula di pentas dunia dengan 3 kejohanan penting bakal disertai pada 2025.
“Kredibiliti Nafuzi yang kini berusia 46 tahun ditagih dalam usaha memperkasakan semula skuad B-23 kebangsaan yang kebelakangan ini kelihatan kurang menyinar di pentas antarabangsa.”
“Dengan kehadiran Nafuzi ini, pastinya tugasan penting untuk skuad B-23 kebangsaan pada tahun 2025 adalah untuk kembali bangkit pada kempen Kejuaraan B-23 ASEAN 2025, Kelayakan Piala Asia B-23 2026 dan Sukan SEA 2025 di Thailand.”
Untuk rekod, reputasi Nafuzi dalam membimbing pemain muda sememangnya tidak mampu dipertikai apabila berjaya membawa Kelantan menjuarai Piala Presiden sebanyak 3 kali pada 2011, 2013 dan 2015.
Pelantikan Nafuzi ini merupakan sebahagian daripada projek revolusi penstrukturan semula pengurusan Harimau Malaya yang dinyatakan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.
Selain Nafuzi, FAM turut mengumumkan pelantikan jurulatih Australia, Peter Cklamovski sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya yang bakal memulakan tugas pada 1 Januari 2025 ini.