Nafuzi Zain Zahir Perhargaan Luar Biasa Kepada Pemain

Nafuzi Zain 6 Nafuzi Zain Zahir Perhargaan Luar Biasa Kepada Pemain
Unifi TV

Pengendali pasukan Terengganu FC, Nafuzi Zain menzahirkan rasa bangga dan terharu dengan persembahan yang dipamerkan para pemain Terengganu FC pada aksi pusingan kedua Piala FA.

Pasukan Terengganu secara sah melayakkan diri ke pusingan suku akhir setelah mengatasi Kedah Darul Aman 1-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Mizan Zainal Abidin sebentar tadi. 

Dalam sesi temu bual pasca perlawanan, Nafuzi beranggapan bukan satu tugas yang mudah untuk para pemainnya mencatat keputusan positif dalam perlawanan malam ini. Namun beliau bersyukur para pemain Terengganu telah memberikan sepenuh komitmen di dalam padang. 

“Syukur alhamdulilah, rezeki untuk Terengganu malam ini. Kalau kita lihat, bermain di separuh masa kedua bertemu dengan pasukan Kedah bukannya suatu yang senang.”

“Apa yang pemain berikan, dengan keadaan perlawanan yang agak padat, mereka beri kesungguhan dan segalanya di atas padang. Saya diluar ni tiada apa, semua hasil usaha para pemain.”

Nafuzi juga berbesar hati melihat banjiran para penyokong yang hadir memberi dukungan buat pasukan. Beliau turut menyatakan penghargaan kepada semua yang telah terlibat dalam membantu pasukan Terengganu. 

“Terima kasih untuk penyokong dan semua yang beri sokongan dari awal hingga akhir permainan,” ujar Nafuzi Zain.

Pasukan Terengganu bakal berdepan pasukan Kuching City FC pada aksi suku akhir Piala FA kelak. Aksi tersebut dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.