Naik Taraf Stadium Paroi Cecah RM6 Juta
MakanBola
Negeri Sembilan FC

Kos menaik taraf Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi dijangka mencecah lebih RM6 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Datuk Mustapha Nagoor memaklumkan kos itu merangkumi empat fasa utama dengan dua fasa sudah disiapkan.

Dua lagi fasa menaik taraf STAR sedang giat dijalankan bukan saja bagi menambah baik kemudahan di stadium tersebut. Malah, ini akan memberi keselesaan kepada penyokong yang hadir apabila kerja naik taraf STAR siap sepenuhnya.

Dua projek penaiktarafan STAR yang telah siap melibatkan bilik persalinan pasukan tuan rumah dan pelawat dengan kos kira-kira RM500,000. Kerja mengecat keseluruhan stadium pula menelan kos melebihi RM600,000.

“Dua lagi projek dalam pelaksanaan ialah menaik taraf lampu limpah dan sistem pencahayaan stadium termasuk pendawaian serta pengalihan tiang, membabitkan peruntukan kira-kira RM4.3 juta, selain kerja membaik pulih tandas awam dan surau dengan kos kira-kira RM650,000,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

Mustapha yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palong itu memaklumkan terdapat dua tarikh bila kerja menaik taraf sistem pencahayaan stadium siap.

Projek naik taraf sistem pencahayaan termasuk lampu limpah di STAR dijangka siap November ini sekiranya struktur asas tiang sedia ada masih boleh digunakan. Jika tidak, Mustapha menjangkakan projek itu siap selewat-lewatnya pada Mac tahun hadapan.

Atas sebab itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) menjalankan pemeriksaan teknikal terhadap asas tiang lama di STAR bagi menentukan sama ada struktur itu masih kukuh atau tidak sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

“Kali terakhir kerja naik taraf stadium berskala besar ini dilakukan pada 2004 bersempena dengan Sukan Malaysia (SUKMA), sekali gus menjadikan penambahbaikan kali ini amat diperlukan selepas lebih 20 tahun.

“Kerajaan negeri turut berterima kasih kepada KBS yang menyalurkan peruntukan bagi meningkatkan fasiliti sukan di negeri ini termasuk menaik taraf Stadium Hoki di Seremban 2 bernilai lebih RM5 juta,” katanya.

Kerja naik taraf STAR dibiayai Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Bandaraya Seremban (MBS). Sementara kerja naik taraf ini berjalan, skuad Negeri Sembilan FC beraksi pada waktu petang untuk aksi di Paroi.