Pengadil Pulau Pinang, Nazmi Nasaruddin dipilih sebagai pengadil aksi final Piala FA 2024.
Pemilihan Nazmi diketahui peminat bola sepak negara selepas Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memuat naik siri gambar mesyuarat koordinasi perlawanan (MCM) final kejohanan berprestij itu.
Nazmi bukan calang-calang kerana beliau merupakan pengadil negara yang mendapat pengiktirafan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Ini terbukti apabila Nazmi dipilih sebagai pengadil aksi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC (ACL) musim 2023/24 membabitkan Buriram United dan Zhejiang FC.
Ini menjadikan beliau pengadil Malaysia pertama mengadili saingan ACL yang menggunakan sistem bantuan video pengadil (VAR).
Nazmi memiliki kelayakan mengendali VAR kerana telah mengikuti siri latihan membabitkan VAR di Arab Saudi. Ini juga menjadikan beliau pengadil Malaysia pertama yang diiktiraf FIFA sebagai pegawai VAR.
Nazmi memiliki pengalaman mengendalikan perlawanan antarabangsa termasuk saingan Piala Asia 2023 di Qatar awal tahun ini. Beliau bertanggungjawab mengadili aksi Vietnam-Iraq dan Uzbekistan-Thailand.
Ini bukan kali pertama Nazmi diberi amanah mengadili saingan final Piala FA. Ini kerana pada 2023, beliau turut dipilih sebagai pengadil aksi final Piala FA 2023 antara Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) dan KL City FC.
JDT dan Selangor bakal berentap di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 24 Ogos ini bagi menentukan siapa juara edisi 2024.