Dengan Liga Super bakal bermula tidak lama lagi, Negeri Sembilan mula sibuk menarik penyokong datang ke stadium. Hari ini, skuad Hoben Jang Hoben melancarkan pas bermusim pada harga serendah RM89.
Anak-anak buah K. Devan amat mengharapkan kehadiran penyokong ke stadium sebagai ‘pemain ke-12’. Ini kerana Negeri Sembilan bakal beraksi sekurang-kurangnya 15 kali di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi untuk saingan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.
Penyokong yang mendapatkan pas bermusim kelab bakal mendapat diskaun 30% dengan pelbagai manfaat menanti mereka. Harga pas bermusim Negeri Sembilan bermula dari RM89 hingga RM2000.
Bagi penyokong yang berminat menggunakan corporate box pula, mereka boleh mendapatnya dengan membuat permohonan terus kepada pengurusan Negeri Sembilan.
Tempahan pas bermusim kelab boleh dibuat melalui store.nsfc1923.com bermula hari ini sehingga 24 Februari 2023.
Pengurusan Hoben Jang Hoben turut menetapkan harga tiket pada hari perlawanan. Harga RM30 ditetapkan untuk penonton dewasa kawasan astaka dan RM15 (kanak-kanak). Manakala bagi tempat duduk terbuka pula, harga tiket ditetapkan pada kadar RM15 (dewasa) dan RM9 (kanak-kanak).
Negeri Sembilan bakal memulakan cabaran Liga Super dengan menentang Sri Pahang di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 26 Februari ini.