Negeri Sembilan Tak Mahu Lepaskan Tawaran Tukar Rumput Zeon Zoysia Secara Percuma

CC BY SA 3.0 Mohd Izzuddin Negeri Sembilan Tak Mahu Lepaskan Tawaran Tukar Rumput Zeon Zoysia Secara Percuma
CC BY-SA 3.0/Mohd Izzuddin
Azim Noor @mohdazim45
12:31pm 17/03/2023

Susulan tawaran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menaiktaraf rumput Zeon Zoysia di setiap stadium negeri di Malaysia secara percuma, wujud maklum balas positif berkenaan tawaran tersebut. Bagi kerajaan Negeri Sembilan, gagasan ini baik tetapi mereka memerlukan masa untuk melaksanakannya.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan, Datuk Mohamad Taufek Abdul Ghani, satu-satunya padang yang sesuai untuk perlawanan bola sepak kebangsaan mahupun antarabangsa di negeri tersebut hanyalah Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi.

Justeru, sekiranya rumput di STAR mahu dinaiktaraf kepada Zeon Zoysia, maka Negeri Sembilan perlu mencari stadium alternatif bagi memastikan perjalanan perlawanan Liga Super skuad Hoben Jang Hoben berjalan lancar.

“Jadi, kalau kita hendak buat baik pulih, atau naik taraf dan melakukan penukaran rumput itu ia memerlukan sekurangnya-kurangnya antara tiga hingga empat bulan.

“Oleh itu, kita kena memilih masa yang sesuai iaitu ketika tiada perlawanan (Liga Malaysia) dan andai perlu bagi mengelak jadual terganggu, kita kena cari padang alternatif untuk perlawanan antara Kelab Bolasepak Negeri Sembilan (NSFC) dengan pasukan lain.

“Di situ kesukaran kita. Sebab itu saya mencadangkan kepada YAB Menteri Besar supaya mencari peluang bagi memastikan Negeri Sembilan ini ada dua padang yang setaraf atau boleh digunakan bagi acara peringkat kebangsaan atau lebih tinggi,” katanya kepada media selepas majlis penyampaian hadiah kemenangan atlet negeri sempena Sukan SEA 2021 dan Sukma 2022 semalam.

Begitupun, KBS sebelum ini mengingatkan sebelum penaiktarafan rumput dibuat, stadium yang dipilih perlu menjalani penyelenggaraan awal terlebih dahulu. Hal ini diakui Taufek sambil menyifatkan sistem saliran STAR kurang elok sehingga menyebabkan air mudah bertakung.

Ini turut menjelaskan mengapa perlawanan Liga Super Negeri Sembilan-KL City ditangguhkan pada minggu lepas. Selain faktor cuaca buruk, padang yang digenangi air turut menyumbang kepada penangguhan perlawanan berkenaan.

Di sebalik semua ini, Taufek masih melihat tawaran penaiktarafan rumput oleh KBS sebagai satu peluang yang tidak boleh dilepaskan. Ini kerana ini boleh saja menjadi pemangkin kepada perkembangan bola sepak Negeri Sembilan.

“Kajian dan pertimbangan dari semua aspek perlu dibuat dan kami merancang untuk memanggil pihak-pihak yang berkaitan dan pemegang taruh untuk mendapatkan pandangan terlebih dulu.

“Kami juga mengambil kira kos senggaraan yang mencecah RM240,000 setahun atau sekitar RM20,000 sebulan jika rumput jenis Zeon Zoysia ditukar di padang Stadium Tuanku Abdul Rahman,” tambahnya.