Ketua jurulatih KL City, Nenad Bacina optimis peluang ke final Piala Malaysia 2023 masih terbuka biarpun skuad kendaliannya tewas kepada Terengganu malam semalam.
Terengganu meraih kemenangan di Stadium Cheras selepas jaringan Ivan Mamut dan Nik Sharif memastikan keputusan 2-1 memihak kepada Skuad Peteh.
Sementara satu jaringan KL City berjaya dihasilkan Tchetche Kipre pada minit akhir permainan selepas pengadil perlawanan memberikan sepakan penalti buat The City Boys.
Ketika sesi sidang media selepas perlawanan, pengendali KL City, Nenad Bacina yakin anak buahnya masih mampu melakar kejutan pada aksi timbal balik di Kuala Terengganu kelak.
Jurulatih berusia 52 tahun ini melihat tekanan bakal dirasai pasukan tuan rumah kerana beraksi di laman sendiri boleh jadi satu perangkap buat skuad kendalian Tomislav Steinbruckner.
“Beraksi di hadapan penyokong lawan, boleh jadi kelebihan buat Terengganu namun ia juga boleh memerangkap mereka,” jelasnya.
Gol minit akhir KL City amat penting dalam membantu mengurangkan defisit jaringan. KL City bakal berdepan Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Jumaat, 3 November 2023.