Penyokong bola sepak Indonesia menggesa Ketua Umum PSSI, Mochamad Iriawan meletak jawatan.
Ini susulan penganjuran acara Fun Football di Stadion Madya, Jakarta pada malam Selasa lepas dianggap tidak sensitif terhadap mangsa tragedi Kanjuruhan.
Acara Fun Football menyaksikan perwakilan FIFA dan PSSI termasuk Presiden FIFA, Gianni Infantino bermain bola sebagai tanda kelangsungan sukan bola sepak di negara itu.
Bagaimanapun, apabila gambar acara berkenaan dimuatnaik di akaun Twitter PSSI, ia mengundang kemarahan netizen Indonesia yang menyifatkan PSSI dan FIFA sebagai tidak sensitif.
Ini ditambah dengan pengumuman mangsa ke-133 tragedi Kanjuruhan meninggal dunia beberapa jam selepas acara itu diadakan.
Selain itu, penyokong Indonesia juga berang dengan keengganan barisan kepimpinan PSSI meletak jawatan dan mengadakan pemilihan ahli jawatankuasa baru persatuan berkenaan.
Ini selepas Tim Gabungan Independen Pencari Fakta (TGIPF) Tragedi Kanjuruhan berpandangan PSSI perlu bertanggungjawab atas apa yang berlaku dan patut meletak jawatan.
Setakat hari ini, 88,800 ciapan bantahan dengan tanda pagar #PSSI muncul di Twitter.
Sementara 30,000 orang telah mengisi petisyen di Change.org bagi menggesa Iriawan meletak jawatan.