Pemain sensasi Vietnam, Nguyen Quang Hai dikatakan telah bersetuju untuk beraksi bersama kelab Perancis yang beraksi di Ligue 2.
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh VNExpress, Quang Hai amat berpuas hati dengan tawaran kontrak diberikan oleh kelab Perancis berkenaan dan kini hanya menunggu urusan dokumentasi dan laporan perubatan sebelum kontrak rasmi ditawarkan.
Quang Hai sebelum ini menyatakan hasrat kepada kelab diwakilinya, Hanoi FC untuk beraksi ke luar negara dan Eropah menjadi salah satu destinasi pilihan bintang berumur 24 tahun ini.
Quang Hai sebelum ini beberapa kali menjadi duri dalam daging buat pasukan-pasukan Asia Tenggara dengan aksi lincahnya mengemudi jentera serangan Vietnam di bawah kendalian Park Hang-seo.
Bersama Hanoi FC, Quang Hai beraksi sebanyak 126 perlawanan, menjaringkan 35 gol dan memenangi pelbagai kejuaraan domestik selain membantu Vietnam menjuarai Piala AFF dan turut mencipta nama antara pemain terbaik Kejuaraan AFC B-23.